Saturday, September 27, 2008

Beringat Sebelum Terkena

Pasaran saham kita nampaknya sudah pulih sedikit dan saya rasa para pemain saham sudah mula nak menyibukkan diri berdiri didepan screen-screen syarikat broker masing-masing, dan kalau boleh nak beli apa yang patut. Maklum sajalah lama juga dok bermain ditepi-tepi saja apa salahnya kali ni bila dapat tip bagus dan harga pun patut, tunggu apa lagi beli sajalah.

Di celah-celah sibuk membeli saham tu, ingat-ingatlah wahai para pelabur, wabak penyakit ekonomi dari US belum pulih lagi dan pada bila-bila masa saja dia boleh menyerang negara kita dan yang bestnya penyakit politik negara kita sendiri pun belum dapat didiagnoskan lagi.

Saya bukan apa, cuma nak ingatkan saja, dalam permainan saham ni segala kemungkinan boleh berlaku dan kita tidak pula boleh nak tahan apa kemungkinan yang akan berlaku, tapi kita boleh mengelak sebelum terkena dengan berjaga-jaga dan kalau nak terkena juga bermakna itulah risiko yang kita kena terima.

Jika anda ingin melabur

Jika anda ingin melabur atau bermain saham, anda tak perlu risau kerana ada bermacam-macam jenis dan bentuk pelaburan dipasaran kita. Apa yang perlu ada ialah duit untuk melabur. Duit adalah punca untuk kita melabur.

Walaupun duit adalah punca untuk kita bermain-saham, tidaklah kesemua duit yang kita ada perlu dilaburkan kepada saham. Kita hanya perlu melabur dengan duit lebihan sahaja, duit yang kita sanggup rugi, maksudnya jika kita mengalami kerugian ia tak akan menjejaskan perbelanjaan harian kita dan juga mengganggu kedudukan ekonomi kita. Jika kita tidak mempunyai duit seumpama itu bermakna kita tidak layak untuk melabur.

Kalau kita nak bermain saham tak semestinya kita mempunayi beribu-ribu ringgit, malah dengan puluhan ringgit pun kita boleh mulakan pelaburan sekurang-kurangnya kita boleh melabur ke ASB. Kita boleh melabur walaupun kecil, daripada kita tidak melabur langsung sekurang-kurangnya dapat 8% apabila sampai masanya kelak. Kalau kita ada rezeki lebih kita boleh labur tiap-tiap bulan. Banyak tempat pelaburan kita boleh sertai, Amanah Saham Mara juga menyediakan tabung-tabung pelaburan, bank-bank juga telah lama
memberi perkhidmatan pelaburan kepada pelanggan-pelanggan mereka, malah
syarikat-syarikat insurans juga telah mengorak langkah dengan mengadakan skim-skim pelaburan.

Bagi peminat saham yang ingin bermain dengan saham-saham yang lebih tinggi risikonya, pasaran stocks mungkin boleh menarik minat anda dan modal yang diperlukan untuk bermain saham-saham ini memerlukan modal minima yang lebih besar. Sekali lagi saya ingin nasihatkan anda jika bermain saham-saham seperti ini, anda pasti tidak menggunakan modal yang terikat dengan komitmen-komitmen anda yang lain dan anda perlu mempunyai pengetahuan yang cukup supaya senang membuat urusniaga.

Pasaran yang lebih mencabar lagi daripada pasaran stocks seperti pasaran hadapan ‘futures market’dan pasaran matawang asing ataupun forex berurusniaga secara ‘leverage’ dengan menggunakan modal lebih kurang 10% sahaja dari kontrak asal. Pasaran yang membenarkan jualan singkat ini telah menarik ramai peminat-peminat saham walaupun banyak terdapat kekalahan demi kekalahan dikalangan pemain-pemain, tetapi yang pastinya kita akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda jika ianya dikendalikan dengan penuh sistematik dan berhati-hati.

Akhir kata dari saya, jangan menggunakan wang yang boleh menjejaskan kedudukan ekonomi kita untuk bermain saham kerana perbuatan itu akan menjadi punca kemudaratan jika terjadinya sesuatu yang tidak dingini dalam pelaburan.

 

blogger templates | Make Money Online